Friday, April 11, 2008

Pilihanraya 12 - Mana arah tujuku

Pilihanraya 12 - Mana arah tujuku

Semua telah berlalu, yang menang yang kalah, yang suka yang marah, yang ria yang parah dan mungkin ramai yang jadi pariah gara-gara tsunami pru12. Aku tetap seperti dulu, kini dan selamanya. Masih terhimpit dengan kos hidup yang tinggi, terpaksa mengikat perut dan berkira-kira ke arah mana hendak ku taburkan duit gaji ku yang serba ciput ini. Baru-baru ini aku telah kehilangan moto yamaha 125z kesayangan yang aku usung ke LRT Sg Besi untuk ke tempat kerja. Dengan moto, banyak wang yang aku boleh jimat, petrol, tol dan parking. Tapi kini semuanya tinggal kenangan. Bertambah lagi la belanja haaianku dan makin sesak la aku.

Hari ini harga mee naik, beras dah naik, semua keperluan harian mencanak-canak naik, cuma barang aku je yang susah naik sebab asyik memikir bajet yang ada makin nipis. Kalau inilah senario yang terpaksa aku tanggung tak tahulah berapa lama lagi aku akan terjebak dengan hutang. Yelah kata orang tak berhutang tak dapat barang, tak berhutang tak mencabar. Bila dah hutang perit nak bayar, lepas tu jadi gelaba. Nak berniaga banyak kali dah lingkup, untung tak dapat modal lesap. Kadang-kadang aku lebih hormat dengan orang dulu-dulu yang walaupun tak bergaji besar tapi dapat besarkan 7 hingga 10 orang anak. Hanya kerja kampung tapi anak semua hidup malah ramai yang berjaya. Itulah keberkatan. Aku tak kata manusia hari ini tak ada keberkatan, cuma apa yang aku nampak ialah semakin ramai manusia, semakin bijak manusia semakin banyak kerosakan yang dilakukan. Bukan setakat kerosakan fizikal tapi kerosakan mental dan juga kerohanian. Yang inilah punca keberkatan ditarik balik oleh Allah. Ramai yang tak sedar dan ramai juga yang menuding jari menyalahkan orang lain. Aku kena muhasabah diri sendiri supaya dengan kesedaran diri sendiri mungkin akau dapat memandu keluarga aku supaya tidak berkonflik dengan alam lebih-lebih lagi dengan pencipta-Nya. Semoga aku lebih tabah dan sabar dengan dugaan yang sekelumit ini.
Masih ramai lagi diluar sana yang dihimpit kemiskinan. Lihat saja di Iraq dan Palestin, setiap hari bermuzik senapang dan makan peluru. Kita di sini masih baik dan lebih seribu kali baik dari orang lain. Cuma di harap kebaikan yang ada ini janganlah dicemari dengan sikap tidak apa dan tidak kisah dengan apa yang berlaku disekeliling kita. Kita kena ambil tahu dan mesti jadi orang yang serba tahu. Kemusnahan dan kerosakkan yang berlaku di bumi adalah hasil daripada kebijaksanaan orang sekarang yang langsung menepikan soal kerohanian sewaktu membuat keputusan. Yang difikirkan ialah laba dari kerosakan yang dilakukan.

Hidup jika bertemankan materialistik inilah padahnya. Semua orang nak kumpul harta tak kira macam mana ianya diperolehi. Kesedaran seperti inilah yang menghancurkan nilai-nilai kemanusian. Semuanya manusia tapi bertopengkan syaitan. Memilih jalan yang tidak beretika asalkan dapat habuan. Memijak orang di bawah asalkan mencapai pucuk di atas. Beri bawah, duit tepi, duit kopi, undertable, atas bawah dan bermacam-macam istilah diberi bagi melembutkan perbuatan ini. Musuh nombor satu ini telah membarah menjadi penyakit yang sukar hendak diubati. Aku yang kerdil ini hanya terkebil-kebil melihat para kapitalis dengan rakusnya merosakkan sistem yang mereka sendiri buat. Tanpa ada rasa segan silu, semuanya atas nama pembangunan menjadi satu fatamorgana bagi rakyat marhaein ini. Lihat sahajalah golongan politikus yang menjadi elit kerana kuasa politiknya. Mudah mencari jalan untuk melakukan kebejatan. Undang-undang tak nampak walaupun mereka memang sedar bahawa Tuhan itu maha nampak. Itu bukan jadi halangan asalkan laba dapat dalam tangan.

Aku tak tahu mana arah generasiku, mungkin lebih elok atau pun lebih teruk . Aku berdoa kepada Allah agar dilindungi diri ku dan keluargku daripada perkara-perkara sumbang yang kadang-kadang aku sendiri tak peduli tentang. Semoga Allah akan mengampunkan ketakapaan aku dan beri petunjuk kepada diriku supaya beroleh panduan untuk menjadikan dunia ini aman untuk didiami oleh makhluk Allah. Amin ya rabbal alamin

No comments: